Keluaran dan sambutan Evolusi_KL_Drift_2

Tayangan

Evolusi KL Drift 2 ditayangkan pada 25 Mac 2010 dan berjaya meraih kutipan pawagam terbanyak di seluruh pawagam Malaysia untuk hujung minggu pertama tayangannya (25 hingga 28 Mac), mengatasi filem-filem handalan Hollywood seperti How to Train Your Dragon dan Alice in Wonderland.[5]

Kutipan

Dilaporkan bahawa pada minggu pertamanya di pawagam, hasil kutipan filem EKD2 mencecah RM 3.6 juta di 70 pawagam seluruh negara, termasuk RM560,000 pada hari pertama dan RM900,000 pada hari ketiga.[6] Pada takat 13 hari (6 April), jumlah kutipan meningkat lagi kepada RM 5.2 juta.[7]

Ulasan kritis

Ezekiel Lee dari Cinema Online memberi 2.5 bintang kepada filem ini, dengan membidas kepincangan logik cerita dan lakon layar yang 'tidak mendatangkan inspirasi', serta Syamsul Yusof sendiri gagal memperbaiki mutu lakonan, namun pada masa yang sama memberi pujian kepada lakonan pelakon pembantu seperti Aaron Aziz dan Shaheizy Sam yang menghiburkan penonton dengan dialog hebat mereka, di samping pemilihan kereta yang mengagumkan dan aksi lasak yang menunjukkan peningkatan dari filem pertama.[8] Portal Tupai juga memberi 2.5 bintang dengan memberi pujian kepada lakonan Scha al-Yahya, Shaheizy dan Aaron serta prestasi aksi lasak kereta, tetapi mengeluh akan "hilang fokus" jalan ceritanya.[9]

Ulasan Wahiduzzaman untuk mStar Online mengibaratkan EKLD2 dengan 'deruman kereta baru yang menggunakan enjin lama', dengan keluhan bahawa filem aksi dengan teknik sinematografi moden yang 'membanggakan' dihampakan oleh kepincangan plot, skrip, dan lakonan, tidak ubah seperti skrip-skrip filem Skop Production di era Datuk Yusof Haslam, tetapi dilaporannya pula bahawa "Syamsul mengakui dia tidak dapat lari sepenuhnya daripada acuan itu. Apa pun, kata Syamsul formula itu masih dianggap relevan dan berkesan hingga ke hari ini."[10]

Antara ulasan yang lebih memberangsangkan tiba dari portal gua.com.my yang memberi markah 8/10, bagaimanapun ulasannya tidak banyak selain terhadap perlumbaan yang 'makin mantap', di samping menjadinya watak gangster lakonan Aaron Aziz dan Shaheizy Sam.[11][12]

Rujukan

WikiPedia: Evolusi_KL_Drift_2 http://mytupai.blogspot.com/2010/03/ulasan-evolusi... http://www.budiey.com/watak-ganas-shaheizy-sam-dal... http://www.imdb.com/title/tt1606215/ http://www.bharian.com.my/articles/EvolusiKLDrift2... http://www.cinema.com.my/movies/movie_contents.asp... http://www.cinema.com.my/news/news.aspx?search=201... http://www.gua.com.my/Entertainment/Reviews-Detail... http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM3_6jda... http://mstar.com.my/cerita.asp?file=/2010/3/24/mst... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/200...